BICARA DAI'E

“...boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui...” (Surah al-Baqarah, ayat 216)


Dengan perkenan ke bawah duli-duli penyimpan mohor, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh kita berpuasa ialah pada...
     Bait-bait kata ini sering ditunggu-tunggu setiap tahun untuk menunggu bilakah jatuhnya tarikh kita berpuasa. Sudah pasti mak ayah, abang, adik, kakak dan saudara mara duduk di hadapan televisyen menanti dengan penuh debaran dan teruja. Sebaik sahaja diumumkan, maka akan berpusu-pusulah ke surau ataupun ke masjid untuk bersama-sama menunaikan solat terawih sebagai tanda bermulanya memasuki bulan tarbiah ini. Manakala bagi yang tidak berkemampuan pula, mereka akan menunaikan solat di rumah sahaja. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak membebankan penganutnya dengan mewajibkan untuk bersama-sama mengikuti para jemaah di surau. Malah, kanak-kanak adalah golongan yang paling gembira kerana mereka juga dapat bersama-sama ayah mereka untuk ke masjid selain dapat berjumpa dengan kawan-kawan mereka sambil berkongsi cerita mengenai “semangat” untuk memenuhi sebulan berpuasa.
             Ramadhan…kedatanganmu ditunggu pemergianmu ditangisi..
        Setiap kali datang Ramadhan menjengah, sudah pasti masing-masing mempunyai pelbagai agenda yang tersendiri yang bermain di benak fikiran. Antaranya ialah kurang “berface book”, ber”ym”, kurangkan tidur di siang hari dan sebagainya. Selain itu, target seterusnya ialah memperbanyakkan membaca al-Qur’an (1 hari 1 juzu’), bertadarus, menjaga pandangan dan bangun qiamullail. Malah bagi sesetengah pelajar pula, mereka akan meletakkan borang muhasabah (list Ramadhan) pasti diletakkan di meja study sebagai peringatan. Ini adalah satu langkah yang dapat menyucikan jiwa-jiwa yang sedang dalam menjalani proses menyemarakkan kembali semangat Ramadhan. Pelbagai cara yang digunakan oleh masing-masing dengan cara yang tersendiri. Bagi yang baru pertama memulakan berpuasa ini, terutama golongan mualaf dan kanak-kanak maka akan bermulalah satu kehidupan yang mereka tidak pernah rasai sebelum ini.  
                              Fasa-fasa Ramadhan                 
 “Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka.. (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah). Manakala Abu Hurairah r.a. pula berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat” (Bukhari & Muslim).
Sedar tak sedar kita dah pun melepasi fasa yang pertama, iaitu fasa rahmat. Sekarang kita memasuki fasa keampunan (maghfirah). Dan tidak lama lagi kita akan terbang ke fasa pelepasan dari api neraka. Dengan melabuhnya tirai rahmat, maka marilah sama-sama kita bermuhasabah mengingati kembali segala dosa-dosa yang telah kita lakukan dahulu agar ianya dijadikan iktibar dan pengajaran. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t itu Maha Pengampun. Dan moga kita berkesempatan juga untuk sama-sama berada dalam fasa yang ketiga ini.
Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti majlis ilmu di Bandar Baru Bangi dan dalam majlis tersebut penceramah memberitahu bahawa sebaik sahaja kita berada dalam bulan Ramadhan ini, maka segala perkara yang tidak baik  yang berlaku adalah berpunca daripada diri kita sendiri dan bukannya daripada hasutan syaitan. Mendengarkan butir bicaranya yang sebegitu, termenung seketika saya. Ini kerana banyak perkara yang tidak sepatutnya saya lakukan. Semoga Allah memberi kekuatan kepada diri ini untuk meningkatkan amal-ibadat di bulan ini dan terus istiqomah meneruskannya. 

Pergilah dikau pergi…    
       Di bulan yang dijanjikan 1001 keampunan ini, sama-samalah kita koreksi diri kita dan menjadikan adalah sebagai ibadat dan bukannya adat. Andai ianya adat pada pandangan diri, sudah pasti hanya lapar dan dahaga sahaja yang menjadi pertaruhannya.  Di madrasah tarbiyah ini, mujahadah itu payah kerana syurga itu manis. Di persinggahan ini, hapuskanlah segala sifa-sifat mazmumah yang tercalit dalam diri. Kerana daripada satu titik hitam sahaja, akan menjadi tompokan yang akan menghitamkan hati. Contohnya, amalan mengumpat yang menjadi rutin harian dapat kita kurangkan dengan membaca al-Qur’an dan mengingati Allah.
            Selain itu, antara amalan-amalan lain yang boleh membawa kepada kelalaian diri ialah ber“sms” dengan berlainan jantina yang mana intipatinya hanyalah omong-omong kosong sahaja. Bukan itu sahaja, dengan teknologi semasa yang ada sekarang, pelbagai “software”  yang tidak manfaat dapat didownload dengan free sahaja. Inilah yang menyebabkan makin hari makin berlambak berlaku maksiat.
            Justeru itu, walaupun Ramadhan ini sama dengan Ramadhan-ramadhan yang lalu biarlah natijahnya berbeza dengan sebelumnya. Moga-moga sisa-sisa maksiat terus hilang terkikis dalam diri dengan bermulanya tarbiah diri di bulan mulia ini dan istiqomah hingga ke akhir hayat. Apa yang paling penting adalah usaha untuk berubah demi kecemerlangan Islam tercinta dan syiar Islam terus tertegak di muka bumi ini.
Renungan~
      Kata Badi'uzaman Sayyid al-Nursi : "Bulan Ramadhan akan mengubah jiwa naluri seseorang. Dari sekaya-kaya menjadi semiskin-miskin kerana memahami bahawa harta itu bukan miliknya malah kepunyaan semua orang. Dirasakan juga dirinya tidaklah merdeka tetapi adalah hamba. Diketahui sekiranya tidak diterima sebarang arahan, tidak akan berupaya melakukan sebarang kerja mudah dan senang ibarat tidak dapat menyentuhkan tangan ke dalam air."
Wallahua’lam..

0 comments:

Post a Comment