BICARA DAI'E

“...boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui...” (Surah al-Baqarah, ayat 216)



Salam ‘alaik..
Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kerana  saya masih lagi boleh meneruskan kesinambungan dakwah Rasulullah s.a.w walaupun hanyalah sedikit perkongsian ilmu sedikit  cuma. Kita masih lagi berada di bulan kemenangan setelah berperang dengan bulan yang menahan nafsu terutama makan dan minum. Moga apa yang dilakukan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah swt. Apa yang penting ia bukanlah sesuatu yang dilakukan bukan semata-mata kerana adat dan dugaan zahir sahaja. Sebaliknya menunjukkan ‘ibadullah kepada yang Satu.
            Di bulan kemenangan ini, lambakan tayangan-tayangan filem yang dipertontonkan kepada masyarakat. Yang paling menyerlah sekali ialah tayangan yang berunsurkan mistik ataupun tahyul. Tayangan sebegini mula mendapat tempat di hati dan mata penonton kebelakangan ini. Antaranya yang ialah Susuk, Congkak, Jangan Pandang Belakang dan sebagainya. Pada hemat dan pandangan saya, tayangan sebegini tidak membina langsung minda masyarakat, lebih-lebih lagi remaja.
Menyoroti kata-kata Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar yang membidas kerajaan yang membenarkan siaran berunsur tahyul dan tidak berfaedah di televisyen sepanjang sambutan hari raya Aidilftri. Beliau berkata, sepatutnya Kementerian Penerangan mengkaji semula semua siaran televisyen yang tidak menjurus kepada membina minda masyarakat.
"Apa sebenarnya yang ingin mereka paparkan ialah merendahkan martabat rakyat tanpa disedari. Rakyat juga diajar dengan kerja-kerja tahyul”.
(dipetik daripada harakahdaily, 18 September 2010)
            Saya menyokong cadangan ini bukannya atas dasar ta’asub kepada mana-mana parti tetapi atas dasar “outcome” yang diperolehi daripada apa yang dipersembahkan. Namun, tidak disangkal ada juga tayangan yang bermanfaat. Antaranya tayangan “Syurga Cinta” yang memaparkan kisah hidup antara dua darjat yang berbeza. Ianya adalah berkisarkan kehidupan moden yang dilihat seolah-olah dunia ini dikuasai oleh mereka. Bahkan ia adalah menggambarkan masyarakat yang jahil tentang agama.
            Selain itu, dengan lambakan tayangan sebegini, sudah pasti masyarakat akan mempercayai unsur-unsur mistik dan akidah pasti akan menjadi longar. Pegangan pada Yang Maha Esa akan menjadi rapuh lantaran kepercayaan pada bomoh-bomoh dan sewaktu dengannya diutamakan. Lihat sahaja cerita-cerita melayu, kadang-kadang babak yang tidak dapat diterima akal juga turut dipaparkan. Kanak-kanak yang sedang membesar sedikit sebanyak turut mempengaruhi mereka. Ini kerana mereka akan diusik oleh abang atau kakak  dengan mengatakan hantu ada disekeliling mereka dan akan mewujudkan satu perasaan takut yang melampaui seterusnya memberi gangguan emosi kepada kanak-kanak ini. Walaupun tidak dinafikan adanya kewujudan syaitan dan jin di alam fana ini.
            Di sini, betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam institusi keluarga. Mereka hendaklah mengawal anak-anak, tidak kira sama ada yang masih kanak-kanak ataupun dewasa. Janganlah sampai mereka “bertuhankan” tayangan dan berkiblatkan televisyen. Semoga Syawal kali ini diertikan dengan kemenangan yang sebenar dan menyinari lebaran dengan iman yang makin mantap.
Wallahu’alam..

Siapakah orang yang sibuk? Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumanya? Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil
berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya? Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin? Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi? Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan...

Siapakah orang yang paling cantik? Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas? Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit? Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya...

Siapakah orang yang mempunyai akal? Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka..


Siapakah org yg KEDEKUT ? Orang yg kedekut ialah orang yang berilmu dia tidak menyampaikan pula pada org lain.
p/s : sama-sama fikirkan dan tingkatkan amalan..


Dengan perkenan ke bawah duli-duli penyimpan mohor, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh kita berpuasa ialah pada...
     Bait-bait kata ini sering ditunggu-tunggu setiap tahun untuk menunggu bilakah jatuhnya tarikh kita berpuasa. Sudah pasti mak ayah, abang, adik, kakak dan saudara mara duduk di hadapan televisyen menanti dengan penuh debaran dan teruja. Sebaik sahaja diumumkan, maka akan berpusu-pusulah ke surau ataupun ke masjid untuk bersama-sama menunaikan solat terawih sebagai tanda bermulanya memasuki bulan tarbiah ini. Manakala bagi yang tidak berkemampuan pula, mereka akan menunaikan solat di rumah sahaja. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak membebankan penganutnya dengan mewajibkan untuk bersama-sama mengikuti para jemaah di surau. Malah, kanak-kanak adalah golongan yang paling gembira kerana mereka juga dapat bersama-sama ayah mereka untuk ke masjid selain dapat berjumpa dengan kawan-kawan mereka sambil berkongsi cerita mengenai “semangat” untuk memenuhi sebulan berpuasa.
             Ramadhan…kedatanganmu ditunggu pemergianmu ditangisi..
        Setiap kali datang Ramadhan menjengah, sudah pasti masing-masing mempunyai pelbagai agenda yang tersendiri yang bermain di benak fikiran. Antaranya ialah kurang “berface book”, ber”ym”, kurangkan tidur di siang hari dan sebagainya. Selain itu, target seterusnya ialah memperbanyakkan membaca al-Qur’an (1 hari 1 juzu’), bertadarus, menjaga pandangan dan bangun qiamullail. Malah bagi sesetengah pelajar pula, mereka akan meletakkan borang muhasabah (list Ramadhan) pasti diletakkan di meja study sebagai peringatan. Ini adalah satu langkah yang dapat menyucikan jiwa-jiwa yang sedang dalam menjalani proses menyemarakkan kembali semangat Ramadhan. Pelbagai cara yang digunakan oleh masing-masing dengan cara yang tersendiri. Bagi yang baru pertama memulakan berpuasa ini, terutama golongan mualaf dan kanak-kanak maka akan bermulalah satu kehidupan yang mereka tidak pernah rasai sebelum ini.  
                              Fasa-fasa Ramadhan                 
 “Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka.. (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah). Manakala Abu Hurairah r.a. pula berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat” (Bukhari & Muslim).
Sedar tak sedar kita dah pun melepasi fasa yang pertama, iaitu fasa rahmat. Sekarang kita memasuki fasa keampunan (maghfirah). Dan tidak lama lagi kita akan terbang ke fasa pelepasan dari api neraka. Dengan melabuhnya tirai rahmat, maka marilah sama-sama kita bermuhasabah mengingati kembali segala dosa-dosa yang telah kita lakukan dahulu agar ianya dijadikan iktibar dan pengajaran. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t itu Maha Pengampun. Dan moga kita berkesempatan juga untuk sama-sama berada dalam fasa yang ketiga ini.
Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti majlis ilmu di Bandar Baru Bangi dan dalam majlis tersebut penceramah memberitahu bahawa sebaik sahaja kita berada dalam bulan Ramadhan ini, maka segala perkara yang tidak baik  yang berlaku adalah berpunca daripada diri kita sendiri dan bukannya daripada hasutan syaitan. Mendengarkan butir bicaranya yang sebegitu, termenung seketika saya. Ini kerana banyak perkara yang tidak sepatutnya saya lakukan. Semoga Allah memberi kekuatan kepada diri ini untuk meningkatkan amal-ibadat di bulan ini dan terus istiqomah meneruskannya. 

Pergilah dikau pergi…    
       Di bulan yang dijanjikan 1001 keampunan ini, sama-samalah kita koreksi diri kita dan menjadikan adalah sebagai ibadat dan bukannya adat. Andai ianya adat pada pandangan diri, sudah pasti hanya lapar dan dahaga sahaja yang menjadi pertaruhannya.  Di madrasah tarbiyah ini, mujahadah itu payah kerana syurga itu manis. Di persinggahan ini, hapuskanlah segala sifa-sifat mazmumah yang tercalit dalam diri. Kerana daripada satu titik hitam sahaja, akan menjadi tompokan yang akan menghitamkan hati. Contohnya, amalan mengumpat yang menjadi rutin harian dapat kita kurangkan dengan membaca al-Qur’an dan mengingati Allah.
            Selain itu, antara amalan-amalan lain yang boleh membawa kepada kelalaian diri ialah ber“sms” dengan berlainan jantina yang mana intipatinya hanyalah omong-omong kosong sahaja. Bukan itu sahaja, dengan teknologi semasa yang ada sekarang, pelbagai “software”  yang tidak manfaat dapat didownload dengan free sahaja. Inilah yang menyebabkan makin hari makin berlambak berlaku maksiat.
            Justeru itu, walaupun Ramadhan ini sama dengan Ramadhan-ramadhan yang lalu biarlah natijahnya berbeza dengan sebelumnya. Moga-moga sisa-sisa maksiat terus hilang terkikis dalam diri dengan bermulanya tarbiah diri di bulan mulia ini dan istiqomah hingga ke akhir hayat. Apa yang paling penting adalah usaha untuk berubah demi kecemerlangan Islam tercinta dan syiar Islam terus tertegak di muka bumi ini.
Renungan~
      Kata Badi'uzaman Sayyid al-Nursi : "Bulan Ramadhan akan mengubah jiwa naluri seseorang. Dari sekaya-kaya menjadi semiskin-miskin kerana memahami bahawa harta itu bukan miliknya malah kepunyaan semua orang. Dirasakan juga dirinya tidaklah merdeka tetapi adalah hamba. Diketahui sekiranya tidak diterima sebarang arahan, tidak akan berupaya melakukan sebarang kerja mudah dan senang ibarat tidak dapat menyentuhkan tangan ke dalam air."
Wallahua’lam..


Maksudnya : "dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya (surah an-Nur, 24:31).

     Merujuk kepada ayat diatas, menutup aurat adalah menjadi satu kewajipan kepada orang Islam. Kadang-kadang timbul persoalan di minda, mengapa orang yang belajar agama, terutamanya mereka yang belajar aliran agama dahulu dan kini sendiri, ada juga yang memakai pakaian yang terlalu "over". Di kesempatan kali ini, penulis ingin menyentuh tentang pemakaian muslimat, fakulti Pengajian Islam.Bila berada di fakulti dan menghadiri kuliah pakaian mereka begitu sopan dan sejuk mata memandang. Tetapi bila berada di kolej kediaman atau di pusat membeli-belah contohnya, pakaian mereka begitu berbeza sekali. Dalam hal ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah salah ibu yang mengandungkan mereka ataupun masyarakat yang tidak peduli dengan keadaan sekeliling ataupun pensyarah yang tidak pandai mengajar??Tepuk dada tanyalah iman.

 
*trend masa kini yang menjadi ikutan remaja sekarang*

     Sedarkah anda bahawa kerana andalah maruah fakulti Pengajian Islam tercemar?? Bukan hendak menuding jari atau menyalahkan sesiapa, tetapi ini adalah sebagai ingatan bersama. Moga apa yang dikongsi ini dapat membuka hati mereka yang telah alpa dari landasan sebenar.

Titipan buat muslimah
Wahai wanita yang bertudung,
Sungguh cantik alunan rambutmu,
Bebas menggerbang kemas terikat,
Terserlah dibawah sinaran mentari,
Mentari dunia yang tidak sehebat neraka,
Iaitu api yang akan membakar rambutmu,
Di hari akhirat hari penentu,
Maka hanguslah segalanya,
Hilanglah kecantikanmu, 
Tiada lagi kilauan rambut hitammu,
Oleh itu jadikanlah hatimu,
Sebahagian daripada wanita-wanita yang bertudung.

Wahai wanita yang bertudung,
Sungguh cantik alas kepalamu,
Ringkas pendek tersempang rapi,
Tersembul jambul tertutup dahi,
Terserlah bentuk tubuh badan,
Mengapa tidak dilindungi?
Rimaskah dengan tudung labuh ke dada?
Panaskah dengan pakaian sedemikian rupa?
Tidakkah kau tahu,
Kepanasan api neraka itu lebih hebat membakar,
Menjilat rentung kesemua mereka yang ingkar.
Mereka itu wanita yang tidak bertudung,
Kau tidak ubah seperti mereka walaupun bertudung,
Oleh itu jadikanlah dirimu,
Sebahagian daripada mereka yang bertudung,
Bertudung labuh hingga ke paras dada.

Wahai wanita yang bertudung labuh,
Sungguh cantik terlindung wajahmu,
Sungguh ayu tertutup bentuk badanmu,
Yang terzahir jelas gaya kesopananmu,
Mengaburi segala yang tersirat dihati,
Hanya diri-sendiri yang menghakimi,
Mungkin suci ikhlas kerana Illahi,
Atau pun berdebu dengan sebab duniawi,
Riak wajah nampak tawadhu',
Riak jiwa rupa-rupanya menunjuk-nunjuk.

Alangkah ruginya andai benar begitu,
Kerna azab masih tidak terlepas darimu,
Serupalah sahaja dirimu ditunggu,
Diseksa tidak ubah seperti wanita tidak bertudung,
Sama dengan mereka yang menyempang tudung,
Oleh itu jadikanlah dirimu,
Sebahagian daripada mereka yang bertudung,
Bertudung labuh hingga ke paras dada,
Tersemat juga rasa taqwa.

Wahai wanita yang bertaqwa,
Andai kau telah sampai ke tahap ini,
Dengan akhlak mahmudah terpahat dihati,
Syariat Islam sebati dalam diri,
Maka layaklah kau mendapat ganjaranNya,
Yang dijanjikan di akhirat nanti,
Dan tatkala di dunia lagi,
Muslimah solehah kau gelari,
Menjadi idaman setiap muslim soleh,
Yang sukar untuk diperoleh.

Wahai muslimah solehah pula,
Jadilah mukminah mujahidah,
Mujahidah yang akan menyeru,
Agar ditinggalkan dirinya yang dahulu,
Mujahidah yang akan berdakwah,
Agar dirimu dan umat berubah,
Mujahidah yang akan mengajak,
Agar Islam tertegak.

Dengarlah wahai wanita,
Rayuan hati nurani ini..

good;)

Sekian, wallahua'lam..




 




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..
Alhamdulillah...walaupun sekadar percubaan yang memakan masa agak lama bagi penulis yang baru mula terlibat dalam dunia maya ini, namun ia cukup memberi maklumat yang cukup bermakna..kerana penulis begitu mengharapkan pertolongan daripada sahabat-sahabat untuk sama-sama "membanting" idea dan buah fikiran yang dapat membantu menyiapkan blog seperti ini. Mungkin ini menjadi satu titik permulaan bagi penulis untuk menyebarkan gerakan dakwah melalui teknologi maklumat kini, walaupun pada asalnya ia adalah merupakan satu mata pelajaran wajib bagi kursus penulis pada semester ini. Jauh di dasar hati penulis untuk mengembangkannya, dan bukannya kerana subjek mata pelajaran semata-mata.




Bertepatan sekali dengan firman Allah s.w.t sebagaimana di atas, penulis ingin melakukan perubahan dalam hidup penulis dengan memulakan dakwah sebagai langkah pertama. Moga coretan di blog ini bermanfaat untuk tatapan semua “pelawat” di laman ini. Segala kesilapan dan “typing error” adalah antara kesalahan yang berlaku adalah tidak disengajakan. Penulis akhiri entry pertama ini dengan serangkap pantun:
 

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong tunjukkan,
Baru menerokai dunia blogger,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Wallahua’lam..